Wednesday, August 9, 2023

(2) AL-BAQARAH 195

 

 AL-BAQARAH 2:195

 

وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ (195)

Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 195

AYAT 194

 

Suruhan Infaq di jalan Allah.

 

Suruhan perang terhadap orang yang memulakan perang dalam kadar sahaja

 

 

[1] Apabila disebut perang, sudah pasti perlu kepada kewangan. Ekoran itu, setelah disebut berkenaan keizinan perang terhadap orang yang memulakan perang, maka disebut berkenaan suruhan infaq di jalan Allah.

 

Menurut HAMKA,  dalam berhadapan dengan perang, perbelanjaan selalunya lebih berlipat handa berbanding biasa. Pada saat sebegini,  sangatlah perlu ada kesanggupan dan berkorban, sekali-kali jangan bakhil[1]. Dengan itu, tidak hairan Allah menyebut berkenaan infaq selepas menyebut berkenaan hukum perang.

 

[2] Manusia yang ada kaitan perang dan wang ini ada beberapa jenis;

a.                  Ada wang tetapi tidak mahu berperang.

b.                  Tidak ada wang dan mahu berperang.

c.                   Tidak ada wang dan tidak mahu berperang.

d.                  Ada wang dan mahu berperang.

 

[3] Keperluan wang untuk perang adalah perkara lazim. Hal ini kerana, dalam perang perlu kepada perkara yang tidak terlepas dari wang, iaitu;

a.                  Peralatan perang seperti senapang, pistol, pisau dan sebagainya.

b.                  Makanan dan minuman bagi tentera perang.

 

[4] Memandangkan keperluan tersebut, tidak hairan selepas Allah menyebut berkenaan hukum hakam melibatkan perang, maka Allah pun menyebut berkenaan infrastruktur bagi perang, iaitu dasarnya adalah kewangan. Dengan itu, Allah pun menyebut berkenaan perihal INFAQ.

 

[5] Allah menyebut infaq dalam ayat ini dengan dikaitkan dengan في سبيل الله yang merangkumi dua maksud;

a.                  Mesti ikhlas kerana Allah.

b.                  Mesti dalam lingkungan syariat.

 

[6] Dalam pada suruhan infaq, Allah berpesan agar “tidak mencampakkan diri kepada kebinasaan” yang mempunyai pelbagai tafsiran dalam kalangan ulama tafsir. Ada

 

Walaubagaimana pun, memandangkan ayat ini ada kaitan dengan perang dan infaq, mungkin tafsir yang paling dekat adalah larangan dari berbelanja untuk perang sehingga jatuh miskin.

 

Ataupun, tidak infaq itu sendiri adalah mencampakkan diri kepada kebinasaan kerana ketika orang perlu kepada wang untuk perang, kita tidak infaq, itu memberi kehancuran kepada orang lain.

 

[7] Dalam menafsirkan ayat ini, hampir semua ulama tafsir bawakan kisah Abu Ayub al-Ansari yang menyebut berkenaan maksud larangan dari mencapakan kepada kebinasaan itu adalah meninggalkan jihad dengan nyawa dan harta.

 

[8] Setelah Allah larangan dari melakukan kehancuran pada diri sendiri, Allah pun suruh agar melakukan “ihsan”.

 

Perkataan احسنوا diterjemah BASMEH dengan “Baiki perbuatan kamu”, sedangkan SHIHAB dan HAMKA terjemah dengan “berbuat baiklah”

 

Namun, dalam pendapat saya, maksud Ihsan dalam ayat ini lebih kepada maksud KESEMPURNAAN dari KEWAJIPAN yang saya lebih cenderung dengan terjemahan “perelokkan” yang ditafsirkan HAMKA sebagai “mutu” dan “berkualiti”. Mungkin boleh diterjemahkan dengan: lakukan perang itu dengan elok dan sempurna; lakukan infaq itu dengan elok dan sempurna.

 

[9] Setelah Allah menyuruh agar berlaku Ihsan, Allah mengalakan agar manusia ada hasrat untuk lakukan ihsan terbabit, makanya Allah pun menyebut bahawa Dia suka kepada orang yang berbuat Ihsan.

 

Dalam ayat ini, Allah tidak sebut bahawa Allah bersama dengan orang berbuat Ihsan, tetapi Allah sebut: “Allah sayang atau suka”.

 

Ada orang yang bersama dengan kita, tetapi kita tidak sayang. Kalau orang itu kita sayang dia, dia tidak bersama dengannya pun kita tetap rasa dekat dengan dia.

 

Justeru, ia menggambarkan kedekatan Muhsin dengan Allah itu amat kuat.

 

[10] Dalam perkataan orang yang berbuat ihsan itu digunakan kata nama المحسنين, bukan digunakan kata kerja الذين يحسنون, yang sudah pasti mengandungi makna bahawa orang muhsin dalam konteks ayat adalah jiwa raganya sudah baik yang jika dia tidak berbuat ihsan, pasti dia akan rasa tidak selesa.

 

[11] Dalam ayat ini menyebut berkenaan suruhan infaq dan dikaitkan dengan Ihsan. Hal ini adalah gambaran betapa besarnya konsep infaq dalam kehidupan manusia. ekoran itu, dalam ayat lain ada disebutkan bahawa orang yang sudah mati bahawa mereka meminta untuk kembali balik ke dunia. Permintaan mereka sebelum mati bahawa mereka mahu bersedekah, bukan mahu solat, mahu haji dan sebagainya. Firman Allah;

 

وَأَنْفِقُوا مِنْ مَا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُنْ مِنَ الصَّالِحِينَ (10) - المنافقون

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh

 

وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ

 

[12] Pada perkataan في سبيل الله, BASMEH terjemahkan dengan “Kerana (menegakkan) agama Allah”

 

HAMKA: “Pada jalan Allah”

 

[13] SEBAB TURUN AYAT;

 

(1)                Menurut AL-RAZI, setelah turun ayat 194 Surah al-Baqarah yang menyebut berkenaan berperang di bulan haram, ada seseorang lelaki datang kepada Rasulullah saw dan berkata:

وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا لَنَا زَادٌ وَلَيْسَ أَحَدٌ يُطْعِمُنَا

Demi Allah, Wahai Rasulullah. Kami tidak mempunyai sebarang bekalan. Tidak ada seorang pun dapat menyediakan makanan kepada kami

 

Mendengar itu, nabi saw pun arahkan para sahabat memberikan infaq di jalan Allah serta bersedekah; minta mereka tidak manahan tangan mereka dari sedekah walaupun secubik kurma.

 

Ekoran kejadian itu, maka turun ayat ini yang kandungan selaras dengan apa yang Rasulullah saw arahkan kepada para sahabat[2].

 

(2)                dalam riwayat lain bahawa IBN AL-JAWZI bawakan riwayat ibn Abbas: ayat ini diturunkan berkaitan kisah Nabi saw suruh bersiap ke Mekah. orang ramai dari kalangan Badwi berkata: “Wahai Rasulullah, kenapa kami perlu bersiap sedia? Demi Allah, kami tidak ada bekalan dan harta”

 

 Lalu turun ayat ini[3].

 

(3)                AL-RAZI pula kata, ayat ini diturunkan sewaktu Nabi saw bertolak ke Mekah untuk tunaikan Umrah al-Qadha’. Dalam umrah terbabit, jika berlaku halangan dari kafir, maka perang tidak dapat dielak lagi. Justeru, nabi bertolak ke Mekah ketika itu dengan dua hasrat, iaitu umrah dan jihad. Dengan itu, diturunkan ayat ini. Dengan sebab itu, AL-RAZI kata, ayat ini disuruh infaq pada dua hal; iaitu, jihad dan Umrah[4].

 

(4)                Al-Muqatil dan IBN ABBAS bawakan kisah bahawa ketika Nabi saw suruh orang keluar berperang. Ada orang ramai dari kalangan badwi yang tinggal di Madinah berkata: “macam mana Kami nak bersiap, sedangkan kami tidak ada bekalan, dan seorang pun tidak dapat berikan makanan kepada kami”. Lalu Allah turunkan: وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ – iaitu, wahai orang kaya, lakukan infaq di jalan Allah, iaitu dalam melakukan taat kepada Allah. Sambungan ayat: وَلا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ – iaitu, jangan kamu halang tangan kamu dari bersedekah, kerana itu boleh membinasakan kamu[5].

 

[14] Maksud dengan INFAQ adalah menggunakan harta kepada perkara yang bermaslahah. Ekoran itu, orang yang berbelanja kepada perkara yang tidak bermaslahah, ia tidak disebut orang yang bernafkah[6].

 

[15] Maksud “di jalan Allah”

 

(1)               Ayat ini, walaupun dalam konteks perang, tetapi tidak boleh dibataskan kepada perang sahaja. hal ini kerana, lafaz yang digunakan adalah “fi sibilillah” yang mempunyai makna yang umum. Maka maksudnya adalah menggunakan harta di jalan agama. Justeru, AL-RAZI kata: sebarang perkara yang Allah suruh lakukan dalam agama, maka infaq kepada hal itu termasuk dalam maksud fi sabilillah, seperti infaq dalam haji, umrah, jihad, membantu orang lain, untuk hubungan silatu rahim, untuk keperluan ahli keluarga dan sebagainya[7]. Ini juga tafsiran USAIMIN[8].

 

(2)               AL-JALAL tafsirkan, perkataan SABILILLAH adalah KETAATAN KEPADA ALLAH[9].

 

(3)               Ada yang tafsirkan adalah keikhlasan kepada Allah. Hal ini melihat kepada hadis—daripada Abu Musa berkata: seseorang lelaki datang kepada Nabi saw dan bertanya: “Apakah maksud berperang di jalan Allah? ada dari kalangan kami berperang kerana marah, ada berperang kerana semangat”.

 

Nabi saw angkat kepala seraya berkata:

عَنْ أَبِي مُوسَى، قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا القِتَالُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ فَإِنَّ أَحَدَنَا يُقَاتِلُ غَضَبًا، وَيُقَاتِلُ حَمِيَّةً، فَرَفَعَ إِلَيْهِ رَأْسَهُ، قَالَ: وَمَا رَفَعَ إِلَيْهِ رَأْسَهُ إِلَّا أَنَّهُ كَانَ قَائِمًا، فَقَالَ: «مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ العُلْيَا، فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ» - البخاري 123

“barangsiapa yang berperang untuk menjadikan kalimah Allah yang paling tinggi, maka dia berada di jalan Allah”

 

(4)               IBN ASYUR kata, perkataan في pada في سبيل الله bukan تعليل. Justeru, ia bukan bermakna “keikhlasan”, tetapi menepati kehendak syariat[10]. Dalam kupasan USAIMIN pula, ia merangkumi kedua-duanya sekali; iaitu dalam maksud Ikhlas dan amalan tersebut bertepatan dengan syariah[11].

 

[16] Menurut al-Razi, ayat ini adalah dalil bahawa tanggungjawab orang kaya adalah melakukan infaq kepada orang faqir yang berkemampuan untuk perang[12].

 

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

 

BASMEH: “janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)”

 

HAMKA: “Janganlah kamu lemparkan diri kamu ke dalam kebinasaan”

 

[17] BEBERAPA RIWAYAT berkaitan dengan ayat ini;

(1)               AL-DHAHHAQ BIN ABI JUBAIRAH menyebut: orang-orang ansar sentiasa bersedekah dan infaq. Tiba-tiba mereka tertimpa masalah kewangan. Lalu mereka berhenti dari infaq. Lalu, turun ayat: وَلا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ.[13]

 

(2)                Ibn Mardawiyyah meriwayatkan bahawa daripada AL-NU’MAN BIN BASYIR: Seorang lelaki melakukan dosa, dia berkata: tidak ada lagi keampunan dosa bagiku. Lalu Allah turunkan ayat ini[14] yang melarang dari mencampakkan diri kepada kebinasaan. 

 

(3)                Daripada Zaid bin Aslam bahawa ada beberapa orang lelaki yang mereka keluar berperang berdasarkan arahan dari Rasulillah saw. Namun, mereka tidak mempunyai nafkah, sama ada kerana perang itu menyebabkan mereka tidak bekerja ataupun mereka sememangnya miskin.

 

Lalu, Allah pun suruh sahabat bersedekah dari apa yang Allah rezekikan kepada mereka  dan jangan campak dengan tangan mereka kepada kebinasaan; iaitu kebinasaan ekoran kelaparan dan kehausan. Justeru, Allah suruh berbuat baik kepada mereka dengan Allah kata: وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ.[15]

 

[18] Dari sudut konteks ayat, maksud “campak dengan dua tangan kepada kebinasaan” adalah;

 

a.                  Ayat sebelum menyebut berkenaan suruh infaq. Justeru, maksud kebinasaan adalah tidak infaq fi sabilillah dan bimbang kemiskinan. Ini pendapat KHUZAIFAH, IBN ABBAS, AL-HASAN, IBN JUBAIR, IKRIMAH, MUJAHID, QATADAH dan AL-DHAHHAQ[16], ‘ATA’ dan JUMHUR[17].

 

AL-SUDDIY kata: Infaqlah walaupun seutas tali. Dan kamu campak dengan tangan kamu kepada kebinasaan[18].

 

b.                  RASHID REDHA kata, menahan dari infaq pada saat orang bersiap sedia untuk berperang[19].

 

c.                   ZAMAKHSYARI kata, maksud kebinasaan adalah melampau dalam infaq sehingga dia terpaksa mula meminta-minta dan menyusahkan ahli keluarganya[20].

 

d.                  Berhenti infaq ketika susah[21]

 

e.                  Bakhil dan kedekut. Ini tafsiran AL-HASAN AL-BASRI[22].

 

f.                    Ada kata, melampau dalam membunuh dalam perang[23].

 

g.                   ABDUH kata, jangan berperang kecuali dalam perkiraan didapati bahawa jika dengan perang itu boleh mendapat kemenangan[24]. Justeru, jika dalam perkiraan nampak kalah, maka mahu berperang juga, maka itu sudah campakkan diri kepada kebinasaan.

 

h.                  Ada pula kata, tidak terlibat dalam perang. Hal ini kerana, tidak berperang akan menyebabkan musuh semakin kuat[25].

 

i.                    ABU AYYUB AL-ANSARI kata, berhenti dari perang kerana pentingkan harta[26]. Hal ini kerana melihat kepada satu riwayat yang dinukilkan oleh AL-QURTUBI; dari YAZID BIN ABI HABIB, dia ambil dari ASLAM ABI IMRAN berkata: kami berperang dalam konstentinopal. Dalam jemaah, ada ABDUL RAHMAN BIN AL-WALID. Ketika perang tengah kecamuk, tentera rom semakin menguasai[27]. Ketika itu, seseorang lelaki Muhajirin yang dengan berani masuk dalam kawasan musuh. Ramai orang melaungkan suara dengan menyatakan bahawa: Dia telah mencampakkan dengan tangannya kepada kebinasaan. Abu Ayyub al-Ansari pun berkata:  kami lebih tahu ayat ini diturunkan berkenaan apa? Kerana, ia diturunkan kepada kami. Iaitu, kami bersama Rasulullah. Kami membantu dan menyaksikan perang bersama nabi saw. apabila Islam semakin kuat, penganut Islam juga semakin ramai, kami pun balik ke kampung. Kami sudah selesa dengan ahli keluarga dan harta. Justeru, kehancuran adalah apabila kami selesa dengan ahli keluarga dan harta tanpa kami berjihad lagi[28]. Dengan itu, Allah turunkan ayat وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ.[29]

 

Abu Ayub meninggal di Konstentinopal dan dikebumikan di situ[30]. Menurut HAMKA, kejadian serangan terhadap konstintinopel itu atas arahan Muawiyah bin Abi Sufyan yang ketika itu, tentera umat islam bergabung dari dual iaitu tentera dari Mesir yang dipimpin oleh ‘UQBAH BIN ‘AMIR dan tentera dari Syam yang dipimpin FUDHALAH BIN UBAID[31].

 

j.                    Berputus asa dari rahmat Allah. Ini pendapat AL-BARRA’, AL-NU’MAN BIN BASYIR dan UBAIDAH[32]. Hal ini merujuk kepada, ada jenis manusia yang pergi berperang kerana dia “frust” dengan dosa-dosa yang dia telah lakukan sehingga dia merasakan dirinya sudah bermanfaat lagi. Makanya, dia pergi berperang dengan tujuan begitu adalah mencampakkan dirinya kepada kebinasaan[33].

 

k.                   Melakukan sebarang tindakan yang mengundang azab dari Allah. Ini pendapat IBN ABI TALHAH yang dia ambil dari IBN ABBAS[34]. Menurut AL-BARRA’, TAHLUKAH adalah seseorang lelaki melakukan sesuatu dosa, itu adalah dia mencampakkan dirinya dalam kebinasaan dan dia tidak bertaubat[35].

 

l.                    USAIMIN kata, tindakan yang berlebihan dalam melakukan perkara wajib dan melakukan perkara yang haram. Dalam bahasa lain, melakukan setiap perkara yang boleh membawa kepada kebinasaan dan bahaya pada agama dan dunia. Hal ini kerana, sebarang perkara yang boleh membawa kepada mudhadarat, maka ia ditegah dalam agama[36].

 

m.                Ada yang menafsirkan bahawa berjihad yang tidak kerana Allah. Hal ini diseragamkan dengan firman Allah[37];

 

وَلا تُبْطِلُوا أَعْمالَكُمْ [مُحَمَّدٍ: 33]

“Jangan kamu batalkan amalan-amalan kamu”

 

[19] Ada pendapat menyatakan, maksud ayat ini adalah: “jangan kamu halang harta kamu dari dibelanjakan, kerana ia bakal diwarisi oleh orang lain, lalu ia binasa kerana ia tidak dimanfaatkan untuk akhirat kamu”[38].

 

[20] Dari sudut perkataan التهلكة TAHLUKAH, ia sama makna dengan perkataan الهلاك dan الهلك. Ia adalah kata terbitan atau Masdar.

 

Ia dibaca dengan TAHLUKAH. Dalam komentar AL-KHARZANJIY الخارزنجي: aku tidak tahu pula, dalam kalam arab bahawa ada bacaan TAF’ULAH تفعلة dengan Dhommah pada huruf ain kecuali pada perkataan ini sahaja[39].

 

Menurut Sibawaih, ia dibaca dengan TAHLUKAH, iaitu sama seperti dibaca التنصرة dan التسترة dan sebagainya[40].

 

Walaubagaimana pun, ZAMAKHSYARI kata, harus juga dibaca dengan TAHLIKAH, ia sama sebutan bagi perkataan التجربة dan التبصرة dan sebagainya. Iaitu digantukan Dhommah dengan Kasrah, sepertimana berlaku pada perkataan الجوار yang boleh dibaca dengan AL-JUWAR pada perkataan AL-JIWAR[41].

 

[21] Perkataan “ba” pada بأيديكم ada pendapat bahawa ia adalah “Ba زائدة yang begitu, takdir kalamnya: وَلَا تُلْقُوا أَيْدِيَكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ. Justeru, makna أَيْدِيَكُمْ (dua tangan) bermakna بِأَنْفُسِكُمْ (diri kamu) yang dengan itu, ia bermaksud: وَلَا تُلْقُوا بِأَنْفُسِكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ; iaitu, jangan kamu campak akan diri kamu kepada kebinasaan[42].  

 

[22] Siapa yang dikhitab dalam maksud ayat?

a.             Ada kata, dikhitabkan kepada orang yang melakukan infaq.

b.            Ada kata, dikhitabkan kepada orang yang tidak infaq[43].

 

Pada tafsiran (a), maka maksud ayat adalah:

 

a.                  Semasa infaq untuk jihad itu, jangan infaq perkara induk bagi harta. Hal ini kerana, musuh bakal menguasai kamu dan akan membinasakan kamu di masa akan datang[44].

 

b.                  Ada pula tafsirkan bahawa apabila disuruh infaq, jangan infaq sehingga semua harta. Hal ini kerana, infaq semua harta membawa kesan kepada kehancuran, iaitu jatuh faqir sehingga susah untuk mendapat makan, minum, pakaian dan sebagainya. Hal ini seragam dengan firman Allah[45];

 

وَالَّذِينَ إِذا أَنْفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكانَ بَيْنَ ذلِكَ قَواماً [الفرقان: 67]

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.

 

وَلا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلى عُنُقِكَ وَلا تَبْسُطْها كُلَّ الْبَسْطِ [الْإِسْرَاءِ: 29]

Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan.

 

c.                   Ada pula tafsirkan, maksud ayat dalam konteks masing-masing; Iaitu, jika melihat perang dalam konteks dunia dan akhirat. Jika dilihat dari konteks akhirat, infaq itu hendaklah di jalan Allah serta dalam usaha mencari redhaNya. Jika dilihat dalam konteks dunia, infaq itu perlu dalam kerangka menolak dari berlaku kebinasaan dan mudharat dari tertimpa pada diri kamu[46].

 

Jika dilihat pada tafsiran (b); iaitu dikhitabkan kepada ORANG YANG TIDAK INFAQ, maka maksud ayat bahawa meninggalkan jihad boleh membawa kepada kehancuran, iaitu tertimpa azab neraka di akhirat kelak. ini dikuatkan dengan firman Allah;

 

لِيَهْلِكَ مَنْ هَلَكَ عَنْ بَيِّنَةٍ [الْأَنْفَالِ: 42]

supaya orang (kafir musyrik) yang binasa itu, binasa dengan keterangan (yang membuktikan kesalahannya)”

 

[23] Ada pula ulama tafsirkan bahawa maksudnya: jangan kamu mengharapkan manfaat di sebalik perang ini.

 

BAHAYAKAN NYAWA UNTUK SELAMATKAN KAWAN

[24] Berkenaan orang yang mahu menyelamatkan kawannya yang sudah terbunuh yang mengundang bahaya pada nyawanya, Apakah dia dianggap sebagai “mencampak kepada kebinasaan”?;

 

AL-RAZI bawakan satu kisah bahawa ada seseorang lelaki ansar yang nampak burung banyak bertenggek pada mayat-mayat kawan-kawannya yang terbunuh dalam perang. Dia berkata kepada kawan-kawan bersamanya: “aku pasti akan serang musuh dan pasti mereka akan bunuh aku. Namun, aku tidak akan berpaling dari perang yang mereka bunuh kawan-kawan aku”

 

Dia pun masuk menyerang musuh. Kejadian itu mereka ceritakan kepada Nabi saw. Baginda memujinya[47].

 

MENYERANG MUSUH RAMAI DENGAN SEORANG DIRI

[25] Seseorang yang melawan ketika dikepong dan terbunuh; apakah dia boleh dianggap “mencampakkan dirinya kepada kebinasaan”?

 

Di sini ada dua riwayat:

 

[Pertama]

 AMRU BIN AL-AS, iaitu ABDUL RAHMAH BIN AL-ASWAD BIN ABD YAGHUS memberitahu bahawa mereka mengepung musuh di Damsyiq. Tiba-tiba seorang lelaki bertubuh sasa dan sado masuk dalam kepungan seorang diri untuk melawan. Para muslim ketika itu memandang tindakan itu sebagai Aib. Kisah itu dimaklumkan kepada AMRU BIN AL-AS. Amru pun mengutuskan seseorang untuk maklumkan kepada tentera Islam. Amru menyebut firman Allah ini: وَلا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ – jangan kamu campakkan dengan kedua tangan kamu kepada kebinasaan[48].

 

[Kedua]

 UMAR BIN AL-KHATTAB: AL-RAZI bawakan satu riwayat bahawa ada satu kaum telah mengepung satu kalangan tentera Islam. Salah seorang dari kalangan tentera itu tetap melawan sehingga dia terbunuh. Ada orang berkata bahawa dia telah mencampak dengan tangannya kepada kebinasaan. Hal itu sampai kepada Saidina Umar. beliau pun berkata: Mereka berdusta. Bukankah Allah ada berkata:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغاءَ مَرْضاتِ اللَّهِ [الْبَقَرَةِ: 207]

Ada dari kalangan manusia yang mereka membeli dirinya untuk mencapai keredhaan dari Allah[49].

 

Dengan itu, MUHAMMAD BIN AL-HASAN kata, seorang lelaki yang bertempur dengan seribu lelaki dari kalangan musyrikin, itu tidak mengapa jika tujuan utamanya adalah untuk berjaya dalam perang tersebut demi kemaslahatan orang Islam ramai, sepertimana halnya orang yang berusaha mewujudkan kegerunan musuh. Tindakan sebegitu dianggap sebagai أَعْلَى دَرَجَاتِ الشُّهَدَاءِ (darjat paling tinggi dalam kalangan syuhada’)[50].

 

Ini juga pendapat AL-QASIM BIN MUHAMMAD (TABIIN), ABDUL MALIK BIN AL-MAJISYUN, IBN KHUWAIZ MANDAD (MALIKIYYAH) dan MUHAMMAD BIN AL-HASAN AL-SYAIBANI[51].

 

وَأَحْسِنُوا

 

Basmeh:  “baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu”

 

Hamka dan Shihab: “berbuat baiklah”

 

 

[26] Maksud “hendaklah kamu berbuat baik”;

a.                  Bagi pendapat yang tafsir ayat di atas sebagai “tidak infaq”, maka mereka tafsirkan suruhan ihsan dalam ayat ini sebagai berbuat baik semasa infaq[52].

 

b.                  Ada pula tafsirkan, bersangka baik kepada Allah. ini pendapat IKRIMAH dan SUFYAN[53].

 

c.                   Tunaikan kefarduan. Ini pendapat ABU ISHAQ[54].

 

d.                  Lakukan ibadat fardu dengan sebaik-baiknya. Ini adalah tafsiran dari AL-ASOMM[55].

 

e.                  Perelokkan infaq kepada orang yang layak mendapat bantuan. Iaitu, wasati dalam infaq, tidak membazir dan tidak terkurang[56].

 

f.                    Infaq dalam melakukan ketaatan serta elokkan zann kepada Allah[57].

 

g.                   Ada pula kata, elokkan pada amalan kamu dengan ikut segala ketaatan[58].

 

[27] USAIMIN kata, ihsan ini perlu dilihat pada dua sudut yang berbeza[59];

a.                  Ihsan terhadap Allah, iaitu beribadat kepadaNya seperti kita nampak Allah

 

b.                  Ihsan sesama makluk, iaitu melakukan perkara yang disukai oleh makhluk terbabit.

 

Namun, dalam konteks ayat, IHSAN adalah kesempurnaan bagi sesuatu perkara kewajipan yang dilakukan. Ia bukan wajib, tetapi sekadar sunat sahaja[60].

 

[28] Dalam kupasan IBN ASYUR, bahawa suruhan ihsan ini berlaku selepas menyebut berkenaan hukum perang dan suruhan infaq di jalan Allah serta larangan dari melakukan kerosakan. Ini bermakna, ia memberi maksud bahawa sebarang tindakan hendaklah dalam batasan syariah serta bersederhana dalam mencapai maslahah yang dituntut. Dalam jihad, perlu ada sifat ihsan terhadap tawanan perang, terhadap musuh yang dikalahkan, jaga harta dan rumah mereka dari dibakar atau dirosakkan[61].

 

[29] Menurut HAMKA, disebalik suruhan “Ihsan” dalam ayat ini mengandungi maksud MEMPERBAIKI MUTU AMAL dan MUTU IBADAT. Hujahnya adalah seperti berikut;

 

Dalam hadis bahawa Nabi saw ada bersabda: ihsan adalah kamu beribadat kepada Allah seperti kamu nampak Dia. Jika kamu tidak nampak, yang pasti Allah nampak kamu.

 

Apabila beribadat dalam keadaan kita sedar bahawa Allah sedang perhatikan, sudah pasti kita akan lakukan ibadat tersebut secara berkualiti dan bermutu tinggi.

 

Dalam meningkatkan mutu dan kualiti, ia tidak sekadar dalam ibadat biasa, bahkan perang juga dituntut. Dengan sebab itu, dalam ayat ini ada disuruh berlaku ihsan[62].

 

[30] Dalam penjelasan QURAISH SHIHAB pula, “ihsan” dalam konteks ayat merujuk kepada aktiviti positif. Hal ini kerana, dalam hadis menyebut ihsan itu dalam dua sudut;

·       Ihsan itu lakukan ibadat seakan-akan kita nampak Allah. yang pasti, Allah nampak kita.

·       Allah menyuruh kita lakukan ihsan pada semua perkara. Apabila menyembelih, sembelih secara ihsan; apabila membunuh, bunuh secara ihsan.

 

Berdasarkan dua hadis ini, SHIHAB tafsirkan bahawa ihsan dalam konteks ayat adalah melakukan AKTIVITAS POSITIF[63].

 

[31] Menurut ABU ZAHRAH, ihsan dalam bahasa al-Quran merujuk kepada makna ketekunan الإتقان dan buat secara elok الإجادة dalam amalan serta melaksanakan amalan taat. Firman Allah;

 

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلًا (30) – الكهف

Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.

 

الَّذِي أَحْسَنَ كُلَّ شَيْءٍ خَلَقَهُ وَبَدَأَ خَلْقَ الْإِنْسَانِ مِنْ طِينٍ (7) – السجدة

Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah

 

Walaupun, perkataan IHSAN juga memberi maksud memberi orang lain dengan lebih, tetapi ABU ZAHRAH memilih makna ITQAN dan AL-IJADAH dalam memaksudkan ayat ini[64].

 

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ (195)

 

[32] SHIHAB: “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat ihsan”

 

Hamka pula sama dengan Shihab kecuali pada perkataan الْمُحْسِنِينَ diterjemah dengan “ORANG-ORANG YANG BERBUAT BAIK”.

 

BASMEH pula: sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”

 

[33] Setelah Allah suruh berlaku ihsan, Allah pun galakkan (TASYJI’) lagi agar manusia boleh laksanakan suruhan tersebut. Makanya, Allah pun menyebut bahawa Dia amat sayang kepada orang yang melazimi dirinya dengan sifat ihsan[65].

 

[34] Menurut SHIHAB, ihsan lebih besar dan tinggi berbanding ADIL. Hal ini kerana, adil adalah penunaian hak secara tepat, sedangkan IHSAN adalah memberi hak lebih banyak dari hak yang seharusnya[66].

 

Menurut SAYA, dalam hidup ini ada tiga perkara penting, iaitu;

a.                  Logika yang berusaha untuk memberi manusia itu kenal apa itu KEBENARAN dan KEBATILAN. Dalam wacana Islam, ilmu ini dibahaskan dalam perbahasan AQIDAH.

 

b.                  Etika yang berusaha untuk memberi manusia kenal apa itu KEBAIKAN dan KEJAHATAN. Dalam wacana Islam, ilmu ini dibahas dalam perbahasan SYARIAH.

 

c.                   Estetika yang berusaha untuk memberi manusia kenal apa itu keindahan; apakah sesuatu kebaikan itu selaras dan sesuai dengan sesuatu masyarakat atau tidak dan sebagainya. Dalam wacana Islam, ini dibicarakan dalam ilmu TASAWWUF atau disebut juga dengan IHSAN.

 

Justeru, perang adalah soal ETIKA, iaitu melibatkan Kebaikan dan menolak kerosakan. Namun, perlu ada estetika dalam perang, iaitu kesesuaian tempat.

 

Dalam konteks perang dan infaq, perlu ada IHSAN (estetika) sepertimana dalam suruhan ayat ini. Jika tidak, perang tidak membawa kepada kebaikan, tetapi keburukan.

 

[35] Apabila Allah menyebut bahawa ALLAH SUKA KEPADA MUHSIN, itu bermaksud bahawa amalan yang disuruh lakukan secara IHSAN itu; pelakunya sudah berakhlak dengan akhlak Allah[67].

 

[36] apabila disebut cinta atau sayang, pasti orang yang dicintai itu ada kaitan dengan orang yang mencintai. Merasai cinta itu hadir, apabila ada sesuatu yang terjadi antara pencinta dan orang yang dicintai seperti berbuat balik, berkelakuan sopan, baik tutur kata dan sebagainya.

 

Itu adalah sesama makhluk. Makanya, apabila antara Allah dan makhluk pula, mengikut suruhan Allah agar bertindak ihsan adalah jalan-jalan untuk mencapai sayang Allah. dalam konteks ayat, berperang dengan nyawa dan harta dalam batasan syariah adalah jalan-jalan untuk mendapat kecintaan dari Allah saw.

 

Melihat dari sudut ini, agak seragam dengan hadis—daripada Abdullah bin Amru bahawa Nabi saw ada berkata:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، يَبْلُغُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، «الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ ارْحَمُوا أَهْلَ الْأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ» - ابو داود 4941

“Orang yang saling berkasih sayang pasti akan disayangi oleh Allah yang maha Rahman. Sayangilah penduduk dunia, pasti penduduk di langit sayang kepada kamu”

 

DAKWAAN MANSUKH

[37] Ada dakwaan kata, ayat ini mansukh dengan ayat-ayat PEDANG dari surah AL-TAUBAH. Namun, ABDUH bantah dengan menyatakan bahawa konteks ayat menyebut keizinan perang di tanah haram dan bulan haram, jika peperangan itu dimulai dari pihak musyrikin. Pihak muslim pula tidak boleh berdiam diri dengan serangan musuh tersebut.

 

 Justeru, tidak ada nasikh dan mansukh dalam ayat ini. Hal yang sama pernah ditegaskan oleh IBN ABBAS[68].

 

[38] Menurut RASHID REDHA,

a.                  ayat-ayat dalam Surah Ali -Imran diturunkan dalam perang Uhud.

b.                  Ayat-ayat dalam Surah AL-ANFAL diturunkan dalam perang Badar al-Kubra.

c.                   Ayat-ayat dalam surah AL-TAUBAH diturunkan kepada orang Musyrikin yang cabuli perjanjian damai. Ekoran itu, ada firman Allah:

 

(فَمَا اسْتَقَامُوا لَكُمْ فَاسْتَقِيمُوا لَهُمْ) (9: 7)

Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka

 

Selepas dari mereka cabuli perjanjian damai, Allah berkata:

 

وَقَالَ بَعْدَ ذِكْرِ نِكْثِهِمْ: (أَلَا تُقَاتِلُونَ قَوْمًا نَكَثُوا أَيْمَانَهُمْ وَهَمُّوا بِإِخْرَاجِ الرَّسُولِ وَهُمْ بَدَءُوكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ) (9: 13)

Mengapa kamu tidak memerangi suatu kaum yang telah mencabuli sumpah janjinya, dan mereka pula telah berazam hendak mengusir Rasulullah, dan merekalah juga yang mula-mula memerangi kamu?

 

[39] Menurut RASHID REDHA, untuk menilai musyrikin itu sebagai musuh;

a.             Mereka berusaha memgeluarkan Nabi Muhammad dari negara. Kalau di mekah, kafir Quraish. Kalau di Madinah, jentera al-Ahzab.

b.            Melakukan fitnah terhadap orang mukmin dan membuat tindakan yang menyakiti mereka.

c.             Melarang dakwah[69].

 

[40] Menurut REDHA, Nabi saw berperang semuanya dengan tujuan pertahankan kebenaran, pendokong kebenaran dan menjaga dakwah kebenaran. Ekoran itu, syarat keizinan berperang adalah perlu didahului dengan dakwah. Dakwah itu berlaku dengan hujah dan burhan, bukan pedang dan senjata. Jika dakwah dihalang dengan kekerangan, maka dibenarkan perang. Justeru, perang itu hendaklah untuk menjaga dan menyebarkan dakwah. Dakwah pula, menyeru manusia bukan dengan paksaan, hal ini kerana Al-Quran ajar: tiada paksaan dalam agama[70].

 

 



[1] Hamka:1/451

[2] Razi:5/294

[3] Zad:1/157

[4] Razi:5/294

[5] qurtubi:2/362

[6] Razi:5/294

[7] Razi:5/294

[8] Usaimin:2/389

[9] Manar:2/172

[10] Tahrir:2/213

[11] Usaimin:2/389 - 390

[12] Razi:5/293

[13] Kathir:1/529

[14] Kathir:1/529

[15] Kathir:1/530

[16] Zad:1/158

[17] Qurtubi:2/362

[18] Qurtubi:2/362

[19] Manar:2/172

[20] Kasyaf:1/237

[21] Kathir:1/529

[22] Kathir:1/529

[23] Kasyaf:1/237

[24] Manar:2/172

[25] Kasyaf:1/237

[26] Zad:1/158

[27] Qurtubi:2/361

[28] Razi:5/295 | Kasyaf:1/237

[29] Qurtubi:2/361 | Kathir:1/528

[30] Qurtubi:2/362

[31] Hamka:1/452

[32] Zad:1/158

[33] Razi:5/295 | qurtubi:2/362

[34] Zad:1/158

[35] kathir:1/529

[36] Usaimin:2/390

[37] razi:5/296

[38] qurtubi:2/363

[39] Razi:5/294

[40] Kasyaf:1/237 | Razi:5/294

[41] Kasyaf:1/237 | Razi:5/294

[42] Razi:5/294

[43] Razi:5/294

[44] Razi:5/295

[45] Razi:5/295

[46] Razi:5/294

[47] Razi:5/295

[48]kathir:1/529

[49] razi:5/295

[50] Qurtubi:2/364

[51] Asyur:2/215

[52] Zad:1/158

[53] Zad:1/158

[54] Zad:1/158

[55] Razi:5/296

[56] Razi:5/296

[57] Qurtubi:2/365

[58] Qurtubi:2/365

[59] Usaimin:2/389

[60] Usaimin:2/391

[61] Asyur:2/216

[62] Hamka:1/454

[63] Shihab:1/449

[64] Zahrah:597

[65] Asyur:2/216 | syakrawi:2/836

[66] Shihab:1/449

[67] Syakrawi:2/836

[68] Manar:2/173

[69] Manar:2/173

[70] Manar:2/173

No comments:

Post a Comment

(2) AL-BAQARAH 196

AL-BAQARAH 2:196   وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ وَلَ...