Monday, July 17, 2023

(2) AL-BAQARAH 184

 

AL-BAQARAH 2:184

 

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (184)

(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 183

AYAT 184

 

Berpuasa ada kaitan dengan factor kesihatan.

 

 

Namun, berpuasa itu sendiri dalam beberapa keadaan tertentu boleh membawa mudharat juga, seperti bagi orang yang sedia sakit atau ketika dia dalam musafir.

 

 

[1] setelah Allah menyebut berkenaan hukum berpuasa yang diwajibkan kepada umat Nabi Muhammad yang beroreantasikan ketaatan, makanya Allah menjelaskan pula bahawa ibadat puasa itu tidak sampai memudharatkan manusia.

 

[2] memandangkan ibadat puasa itu secara hikmahnya terkandung maksud menjaga kesihatan, makanya Allah menetapkan hukum bahawa ibadat puasa juga jangan sampai memburukkan kesihatan. Dengan itu, bagi orang sakit dan bermusafir ada rukhsah untuk tidak berpuasa.

 

[3] dalam pada itu pula, tidak bermakna tidak berpuasa itu dalam maksud sudah gugur kewajipan. Ia tetap wajib, tetapi tidak dapat ditunaikan itu perlu diqadha’ pada hari yang lain.

 

[4] Dalam pada manusia tidak dapat berpuasa, ada dari kalangan mereka yang sakit yang sehingga meninggal dunia pun tidak mampu untuk berpuasa. Tuhan menyediakan hukum fidyah dengan mengambil kira kesengsaraan si miskin, iaitu dengan memberi makan kepada mereka.

 

[5] walaupun menjaga kebajikan si miskin, tuhan tetap menggalakkan juga kalau ada kemampuan berpuasa, bahawa itu yang lebih baik. Hal ini kerana, jika manusia tahu kelebihan puasa, sudah pasti manusia tidak akan abaikan ibadat puasa ini.

 

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ

 

[6] Apabila disebut معدودات, ia memberi maksud hitungan hari yang tidak banyak; sebab ia masih boleh dihitung. Justeru, “hari-hari tertentu” dalam ayat adalah berpuasa itu kadangkala cukup 30 hari, dan ada kalanya sekadar 29 hari sahaja[1]

 

[7] Menurut Buya Hamka, tuhan suruh manusia tidak makan dan tidak minum, itu tidak bermakna Allah tidak sayang akan hamba. Justeru, tuhan menyebut bahawa perintah itu bukan bersifat sepanjang hari, tetapi dalam hari-hari tertentu sahaja[2].

 

Dalam kata lain, dalam ayat ini ada unsur memujuk kepada mereka yang merasakan puasa sebulan itu membebankan.

 

[8] Ada sebilangan ulama tafsir kata, maksud dalam ayat ini bukan merujuk kepada bulan Ramadan. Hal ini kerana, ayat ini ada menyebut berkenaan boleh tidak berpuasa bagi orang yang sakit dan bermusafir, sedangkan hal yang sama diulang sebut dalam ayat 185 yang secara terang-terangan menyebut berkenaan puasa Ramadan.


Tambahan pula, dalam ayat ini ada kaitkan dengan membayar fidyah bagi mereka yang tidak boleh berpuasa yang mereka tafsirkan, puasa itu sebagai pilihan sahaja, bukan satu kemestian; hal ini tidak sama seperti kemestian bagi puasa ramadan.

 

Justeru, ada mengatakan bahawa maksud “hari-hari tertentu” dalam ayat ini adalah puasa yang wajib kepada umat sebelum Nabi Muhammad; ia sebagai perincian bagi maksud ayat: كما كتب على الذين من قبلكم

 

Mereka mentafsirkan bahawa berpuasa bagi orang dahulu sebagai pilihan sahaja; sama ada mereka berpuasa ataupun membayar fidyah. Namun, dalam syariah Nabi Muhamad; puasa Ramadan itu adalah kewajipan. Keizinan tidak berpuasa hanya bersebab sahaja. Tanpa sebab, berpuasa bulan Ramadan itu tetap wajib dilaksanakan. Dengan itu, mereka tafsirkan bahawa ayat ini mansukh dengan ayat 185 yang menyebut berkenaan puasa Ramadan[3].

Antara yang berpendapat sebegini adalah, MUAZ, QATADAH dan ‘ATA’.[4]

 

[9] Ada pula mentafsirkan bahawa maksudnya adalah hukum puasa di awal islam sekadar pilihan sahaja; antara berpuasa atau memberi makan kepada orang miskin. Namun, hukum itu Mansukh dengan ayat 185 yang menyebut berkenaan puasa Ramadan[5].

 

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

 

[10] Walaupun puasa itu adalah kewajipan, tetapi kewajipan itu masih mengambil kira factor kelemahan yang boleh berlaku pada manusia, iaitu ketika sakit dan ketika bermusafir. Makanya, dibenarkan untuk tidak berpuasa pada hari-hari yang sakit dan bermusafir tersebut, tetapi hendaklah di qadha’ pada hari yang lain.

 

[11] perkataan سفر dari sudut bahasa arab digunakan juga perkataan اسفر الصبح, iaitu perubahan masa pada waktu pagi dari gelap kepada terbit matahari. Justeru, perkataan سفر digunakan dalam bahasa arab bermakna MUSAFIR kerana ia adalah pergerakan dalam perjalanan[6].

 

[12] Dalam hal musafir, Allah mengunakan perkataan عَلَى سَفَرٍ, iaitu perkataan سفر itu dikaitkan dengan perkataan على, sedangkan dalam hal sakit, hanya menggunakan perkataan مريضا, bukan على مرض; sudah pasti ia mempunyai maksud yang tersendiri.

IBN ASYUR kata, kalau digunakan perkataan على سفر, ia tidak akan termasuk jika orang itu belum dan selepas musafir. Rukhsah itu dapat bagi orang yang benar-benar dalam permusafiran. Apabila dia sudah sampai ke destinasinya, maka dia tidak lagi dianggap sebagai orang bermusafir dalam maksud ayat. Makanya, dia tidak boleh lagi terima rukhsah tidak berpuasa tersebut, walaupun dalam maksud jamak dan qasar solat, dia masih lagi dalam maksud orang musafir[7].

QURAISH SHIHAB pula memberi komentar, susunan kata sebegini memberi maksud bahawa bukan semua jenis musafir termasuk dalam maksud ayat ini, tetapi yang dimaksudkannya adalah musafir yang bukan perjalanan biasa dan mudah. Dengan itu, dikaitkan dengan musafir yang perjalanannya sehingga mencecah jarak perjalanan 90KM[8].

Menurut AL-AWZAIE pula, musafir yang dibenarkan berbuka puasa adalah perjalanan selama sehari[9]. ABU HANIFAH dan ulama mazhabnya mensyaratkan, perjalanan selama tiga hari[10]

 

BERBUKA PUASA KETIKA SAKIT

[13] Adapun dalam bentuk sakit, ia tidak guna على مرض tetapi مريض—ia memberi maksud bahawa semata-mata sakit pun sudah boleh tidak berpuasa, walaupun sakit itu sikit sahaja[11].

Tambahan pula, ada riwayat-riwayat berikut;

Diriwayatkan bahawa ibn Sirin dikunjungi beberapa orang kawan. Ketika itu, Ibn Sirin tidak berpuasa hanya kerana sakit pada jarinya sahaja[12].

Al-Qurtubi meriwayatkan bahawa al-Bukhari ada berkata:

قَالَ الْبُخَارِيُّ: اعْتَلَلْتُ بِنَيْسَابُورَ عِلَّةً خَفِيفَةً وَذَلِكَ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ، فَعَادَنِي إِسْحَاقُ بْنُ رَاهْوَيْهِ نَفَرٍ مِنْ أَصْحَابِهِ فَقَالَ لِي: أَفْطَرْتَ يَا أَبَا عَبْدِ اللَّهِ؟ فَقُلْتُ نَعَمْ. فَقَالَ: خَشِيتَ أَنْ تَضْعُفَ عَنْ قَبُولِ الرُّخْصَةِ. قُلْتُ: حَدَّثَنَا عَبْدَانُ عَنِ ابْنِ الْمُبَارَكِ عَنِ ابْنِ جُرَيْجٍ قَالَ قُلْتُ لِعَطَاءٍ: مِنْ أَيُّ الْمَرَضِ أُفْطِرُ؟ قَالَ: مِنْ أَيِّ مَرَضٍ كَانَ، كَمَا قَالَ اللَّهُ تَعَالَى:" فَمَنْ كانَ مِنْكُمْ مَرِيضاً"

Aku sakit di Nisabur dalam bulan Ramadan—sakit yang ringan sahaja. Ishaq bin Rahaweh dan kawan-kawannya datang ziarah aku. Dia berkata kepadaku: apakah kamu tidak berpuasa, wahai Abu Abdillah? Jawabku: ya. Dia berkata lagi: kamu tidak takut bahawa menerima rukhsah dalam keadaan kamu ini lemah. Aku berkata: Abdan menceritakan kepadaku, dia ambil dari IBN MUBARAK, daripada IBN JURAIJ; dia berkata: aku berkata kepada ‘Ata’: dari apa jenis sakit yang boleh berbuka puasa? Jawab dia: dari apa jua bentuk sakit sepertimana firman Allah: Barangsiapa dalam kalangan kamu sakit.[13]

 

[14] Namun begitu, pendapat ini berbeza dengan seperti berikut:

(a)                Pendapat AL-‘ASOM: sakit dan musafir yang boleh melahirkan masyaqqah bagi orang yang berpuasa. Jika sakit biasa, tidak dibenarkan.

(b)               Pendapat kebanyakkan FUQAHA’: sebarang musafir dan sakit yang memberi kesan pada diri orang yang berpuasa sahaja dibenarkan untuk tidak berpuasa[14].

 

[15] TAHIR IBN ASYUR kata, ulama sepakat bahawa sakit yang jika berpuasa juga boleh membawa semakin teruk sakit tersebut, hukum berbuka puasa itu adalah wajib[15]

 

BERBUKA PUASA KETIKA MUSAFIR

[16] Anas bin Malik berbuka puasa kerana dia bermusafir:

عن محمد ابن كَعْبٍ أَنَّهُ قَالَ: أَتَيْتُ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ فِي رَمَضَانَ وَهُوَ يُرِيدُ السَّفَرَ وَقَدْ رَحَلَتْ دَابَّتُهُ وَلَبِسَ ثِيَابَ السَّفَرِ وَقَدْ تَقَارَبَ غُرُوبُ الشَّمْسِ، فَدَعَا بِطَعَامٍ فَأَكَلَ مِنْهُ ثُمَّ رَكِبَ. فَقُلْتُ لَهُ: سُنَّةٌ؟ قَالَ نَعَمْ

Muhammad bin Kaab berkata: aku datang kepada Anas bin malik dalam bulan Ramadan yang ketika itu dia mahu bermusafir. Kenderaannya pun berangkat dan dia pakai pakaian permusafiran. Ketika itu, waktu hampir dengan tenggelam matahari. Dia pun minta agar dibawakan makanan, dan dia makan dari makanan tersebut, kemudian dia pun naik kenderaan. Aku bertanya kepadanya: apakah ini sunnah? Jawab dia: ya[16].

 

[17] ketika bermusafir, berpuasa atau tidak, hanya pilihan sahaja.

Dalam hadis—daripada Aisyah berkata bahawa Hamzah bin Amru al-Aslami bertanya kepada Nabi saw: Wahai Rasulullah, aku adalah lelaki yang berpuasa. Apakah boleh aku berpuasa ketika bermusafir? Jawab nabi saw:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا، أَنَّ حَمْزَةَ بْنَ عَمْرٍو الْأَسْلَمِيَّ، سَأَلَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي رَجُلٌ أَسْرُدُ الصَّوْمَ، أَفَأَصُومُ فِي السَّفَرِ؟ قَالَ: «صُمْ إِنْ شِئْتَ، وَأَفْطِرْ إِنْ شِئْتَ»  - مسلم, 1121

Berpuasalah, jika kamu mahu. B1erbukalah, jika kamu kamu”

 

[18] Nabi sendiri tidak berpuasa ketika perang Hunain—ibn Abbas ada berkata:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: " خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ إِلَى حُنَيْنٍ، وَالنَّاسُ مُخْتَلِفُونَ، فَصَائِمٌ وَمُفْطِرٌ، فَلَمَّا اسْتَوَى عَلَى رَاحِلَتِهِ، دَعَا بِإِنَاءٍ مِنْ لَبَنٍ أَوْ مَاءٍ، فَوَضَعَهُ عَلَى رَاحَتِهِ، أَوْ عَلَى رَاحِلَتِهِ، ثُمَّ نَظَرَ إِلَى النَّاسِ فَقَالَ المُفْطِرُونَ لِلصُّوَّامِ: أَفْطِرُوا – البخاري, 4277

Nabi saw berangkat pada bulan Ramadan menuju Hunain sedang para sahabat ketika itu terpecah menjadi dua kubu; kubu pertama berpuasa sedang kubu kedua tidak puasa. Ketika baginda sudah siap di atas binatang tunggangannya, baginda meminta satu bejana air dan baginda letakkan di atas untanya, kemudian baginda meneliti sahabat lalu para sahabat yang tidak puasa berkata kepada para sahabat yang puasa: "Batalkanlah puasa kamu”

 

[19] nabi sendiri tidak berpuasa ketika bermusafir:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «خَرَجَ إِلَى مَكَّةَ فِي رَمَضَانَ، فَصَامَ حَتَّى بَلَغَ الكَدِيدَ، أَفْطَرَ» ، فَأَفْطَرَ النَّاسُ،– البخاري, 1944

Rasulullah saw pergi menuju ke Makkah dalam bulan Ramadan dan baginda berpuasa. Ketika sampai di daerah Kadid, beliau berbuka yang kemudian orang-orang turut pula berbuka.

 

[20] permulaan musafir sudah boleh berbuka puasa. Imam Ahmad ada berkata:

وَقَالَ أَحْمَدُ: يُفْطِرُ إِذَا بَرَزَ عَنِ الْبُيُوتِ  - القرطبي, 2\ 279

Boleh berbuka puasa apabila keluar sahaja dari rumah

 

MUSAFIR DALAM KETAATAN

[21] Al-Imam al-Qurtubi pula kata, ijmak ulama menyatakan bahawa musafir dalam melakukan taat adalah dibolehkan berbuka puasa, seperti musafir menunaikan haji dan jihad.

Adapun musafir untuk berniaga dan sebarang perkara harus, ulama berbeza pendapat. Namun, pendapat yang paling rajih bahawa harus berbuka puasa.

Musafir dengan tujuan maksiat dan dosa, ulama berbeza pendapat dalam hal ini. Al-Qurtubi lebih cenderung dengan pendapat kata, tidak boleh berbuka puasa bagi permusafiran maksiat dan dosa[17].

 

KONSEP QADHA’:

[22] qadha bermaksud menunaikan sesuatu ibadat di luar waktunya. Contohnya, puasa Ramadan di bulan yang bukan Ramadan.

Justeru, menunaikan solat di luar waktunya, maka itu disebut sebagai qadha’, walaupun dalam hadis tidak menggunakan terma qadha’:

Dalam hadis—daripada Anas bin Malik bahawa Nabi saw bersabda:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ: قَالَ نَبِيُّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ نَسِيَ صَلَاةً، أَوْ نَامَ عَنْهَا، فَكَفَّارَتُهَا أَنْ يُصَلِّيَهَا إِذَا ذَكَرَهَا» - مسلم, 684

“Barangsiapa lupa solat atau tidur, kifaratnya adalah dia hendaklah tunaikan solat itu apabila dia ingat”

 

AFDHAL ANTARA BERPUASA DAN TIDAK?

[23] apabila sakit atau musafir, mana lebih afdhal antara berpuasa atau tidak?

Hal ini khilaf ulama seperti berikut;

(a)                Mazhab Syafie, Abu Hanifah, Malik, Ahmad, al-Sauri, Abi Yusuf, Muhammad, al-Awzaie dan ishaq: afdhal berpuasa jika dia ada kekuatan:

وَرُوِيَ عَنْ عُثْمَانَ بْنِ أَبِي الْعَاصِ الثَّقَفِيِّ وَأَنَسِ بْنِ مَالِكٍ صَاحِبَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُمَا قَالَا: الصَّوْمُ فِي السَّفَرِ أَفْضَلُ لِمَنْ قَدَرَ عَلَيْهِ – القرطبي, 2\280

Osman bin Abu al-As al-Saqafi dan Anas bin Malik berkata: Puasa dalam musafir itu lebih afdhal bagi orang yang ada kemampuan untuk berpuasa[18]

(b)                Ibn Musayyib dan al-Sya’bi: afdhal berbuka.

وعن عبد الرحمن ابن عَوْفٍ: الصَّائِمُ فِي السَّفَرِ كَالْمُفْطِرِ فِي الْحَضَرِ – القرطبي, 2\280

Abdul Rahman bin Auf berkata: orang berpuasa dalam bermusafir sama seperti orang yang berbuka puasa ketika tidak bermusafir.

Hadis—daripada Jabir bin Abdillah berkata:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ، قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ، فَرَأَى زِحَامًا وَرَجُلًا قَدْ ظُلِّلَ عَلَيْهِ، فَقَالَ: «مَا هَذَا؟» ، فَقَالُوا: صَائِمٌ، فَقَالَ: «لَيْسَ مِنَ البِرِّ الصَّوْمُ فِي السَّفَرِ» - البخاري, 1946

Rasulullah saw dalam suatu permusafiran melihat kerumunan manusia, yang antaranya ada seseorang yang sedang berada di bawah redupan. Baginda bertanya: "Ada apa ini?" Mereka menjawab, "Orang ini sedang berpuasa". Baginda pun bersabda: "Tidak termasuk kebajikan berpuasa dalam permusafiran.

رَوَى كَعْبُ بْنُ عَاصِمٍ قَالَ: سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: (لَيْسَ مِنَ الْبِرِّ الصِّيَامُ فِي السَّفَرِ) – القرطبي, 2\280

Ka’ab bin ‘Asim berkata: aku dengar Nabi saw bersabda: Bukanlah satu kebaikan bahawa berpuasa ketika dalam permusafiran.

 

JANGAN SAMPAI MENIMBULKAN MUDHARAT LAIN

[24] ini menjadi dalil, agama ini suruh melakukan sesuatu kemaslahatan, TETAPI jangan sampai menimbulkan mafsadah. Contohnya, seseorang tercekik, demi menjaga nyawa maka dia minum racun.

 

[25] Disamping itu juga, jangan kerana mahu mencapai sesuatu maslahah sehingga meluputkan maslahah yang lebih besar. Contohnya, mahu mencari imam yang tidak fasiq, jangan sampai tidak menunaikan solat Jemaah.

 

[26] Demikian juga, sesuatu kewajipan yang boleh ditunaikan di waktu lain, maka tidak mengapa kewajipan itu tidak dilaksanakan di waktu yang ditetapkan. Ekoran itu, puasa ramadan boleh tidak ditunaikan bagi orang yang sakit dan musafir, kerana ia boleh diqadha’ pada hari yang lain.

 

[27] Demikian juga, sesuatu kerosakan yang boleh diatasi, tidak menjadikan sesuatu itu dianggap sebagai mafsadah. Contohnya, tidak boleh difatwakan haram kerana mafsadah jika menggali lubang di laluan orang ramai, kerana lubang itu mungkin sahaja boleh ditutup.

Contoh lain; perbankan tidak terus difatwakan haram, kerana unsur riba dalam perbankan itu boleh diatasi dengan pendekatan helah dan sebagainya.

 

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

 

[28] IBN KATHIR meriwayatkan bahawa IBN ABBAS kata, ayat ini diturunkan berkaitan dengan orang terlalu tua yang tidak mampu berpuasa lagi[19].

 

[29] Pun begitu, dalam kupasan lain menyebut bahawa ayat ini lanjutan dari ayat lepas; bahawa ada manusia yang sakit bersifat sementara, makanya dia boleh qadha’ di hari yang lain.

Namun, ada manusia tertentu yang sakitnya berpanjangan sehingga tidak dapat diqadha’kan puasanya, makanya tuhan bagi jalan untuk selesaikan “hutang” dengan tuhan itu dengan membayar fidyah.

 

[30] Allah menyatakan, bayaran fidyah itu adalah memberi makan kepada orang miskin.

Bayaran fidyah itu tidaklah begitu banyak. Sehari tidak berpuasa, memadai dengan membayar fidyah dengan kadar satu mudd (satu cupak) makanan yang mengenyangkan (hamka:1/421)

Al-Qurtubi menyatakan:

فَكَانَ أَبُو هُرَيْرَةَ وَالْقَاسِمُ بْنُ مُحَمَّدٍ وَمَالِكٌ وَالشَّافِعِيُّ يَقُولُونَ: يُطْعِمُ عَنْ كُلِّ يَوْمٍ مُدًّا – القرطبي, 2\284

Abu Hurairah, al-Qasim bin Muhammad, Malik dan Syafie berkata: diberi makan dari setiap hari satu mudd (cupak).

 

PUASA ORANG TERLALU TUA

[31] ulama sepakat bahawa orang yang terlalu tua yang tidak dapat berpuasa lagi bahawa dia kena bayar fidyah sahaja.

Hamka menukilkan riwayat dari IBN ABI SYAIBAH bahawa ANAS BIN MALIK ketika dia sudah tua yang hampir dengan waktu meninggal dunia yang ketika itu dia sudah tidak mampu untuk berpuasa lagi; dia telah memasak roti satu periuk besar, lalu diberikannya makan kepada 30 orang miskin[20]

 

PENDAPAT ULAMA BAGI IBU MENGANDUNG DAN MENYUSUKAN ANAK

[32]: hal ini khilaf ulama seperti berikut;

(a)                SYAFIE dan AHMAD: apabila dia berbuka puasa, maka dia perlu qadha’ dan bayar fidyah.

(b)                AL-HASAN, ‘ATA’ BIN ABI RABAH, AL-DHAHHAQ, AL-NAKHAIE, AL-ZUHRI, RABI’AH, AL-AWZAIE dan ASHAB AL-RA’Y: apabila dia berbuka, dia kena qadha’ tanpa perlu kena fidyah[21].

 

[33] HUJAH SYAFIE dan AHMAD: ayat al-Quran ini menyebut: وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ, bermaksud orang yang perempuan yang mengandung.

 

[34] HUJAH ABU HANIFAH: orang tua, tidak ada kemampuan untuk nak qadha’ sehingga dia meninggal dunia, sedangkan perempuan yang mengandung dan menyusukan anak, dia ada kemampun untuk qadha’ pada hari lain. justeru, dia wajib qadha’, bukan bayar fidyah.

 

[35] ABU HANIFAH secara terang-terangan menolak kewajipan kepada perempuan mengandung dan menyusukan anak yang tidak berpuasa bahawa perlu lakukan dua perkara; Qadha’ dan Fidyah. Hal ini kerana, fidyah adalah ganti bagi orang yang tidak mampu qadha’[22].

 

[36] Dalam riwayat AL-DARAQUTNI, IBN ABBAS memberitahu kepada isterinya yang sedang hamil atau menyusukan anak bahawa jika tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah dia berbuka. Lalu, diberikan fidyah tanpa perlu diqadha’kan puasa tersebut

Demikian juga berlaku pada ABDULLAH BIN UMAR yang menyuruh perempuan yang mengandung agar berbuka puasa dan membayar fidyah tanpa diqadha’kan puasa tersebut[23].

 

IJTIHAD ABDUH

[37] Hamka menukilkan pendapat ABDUH yang memfatwakan bahawa orang yang kerja buruh juga, jika dia tidak berpuasa bahawa dia cukup sekadar membayar fidyah tanpa perlu dia qadha’ puasa tersebut.

Antara contoh kes yang dibawa oleh HAMKA adalah, seperti orang yang berkerja sebagai kelasi kapal yang sejak dari muda dia bermusafir dan kerja berat yang sehingga tua dia hidup begitu yang andai dia ambil rukhsah (tidak berpuasa) sejak muda, sudah pasti membebankan kepadanya untuk qadha’ puasanya apabila sampai waktu dua.

Justeru, menyuruh qadha’ itu sudah membawa kepada beban, sedangkan agama ini tidak membebankan. Makanya, fatwa ABDUH itu dilihat relevan[24].

 

PUASAKAN UNTUK ORANG LAIN

[38] ulama khilaf dalam hal ini kepada pendapat berikut;

(a)                SYAFIE, MALIK dan AL-SAURI: tidak boleh seseorang puasakan untuk orang lain.

Hujah mereka—firman Allah:

أَلَّا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى (38) وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى (39) – النجم

(Dalam Kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja) * Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya

Dan firman Allah:

وَلا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْه(164) - الانعام

Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya

(b)               AHMAD, ISHAQ, ABU SUR, AL-LAIS, ABU UBAID dan AHLI ZAHIR: boleh dipuasakan oleh orang lain jika dinazarkan.

Dalil mereka: hadis—daripada Aisyah bahawa Rasulullah saw bersabda:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: «مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ» - البخاري, 1952

Barangsiapa yang mati dalam keadaan dia ada puasa yang tidak ditunaikan, maka walinya puasakan untuk dirinya

Dalam hadis—daripada Ibn Abbas:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، قَالَ: جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ نَذْرٍ، أَفَأَصُومُ عَنْهَا؟ قَالَ: «أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ فَقَضَيْتِيهِ، أَكَانَ يُؤَدِّي ذَلِكِ عَنْهَا؟» قَالَتْ: نَعَمْ، قَالَ: «فَصُومِي عَنْ أُمِّكِ» - مسلم, 1148

Seorang perempuan datang kepada Nabi saw dan berkata: Wahai Rasulullah, ibuku mati dalam keadaan dia ada puasa nazar yang belum disempurnakan. Apakah boleh aku berpuasa untuknya? Jawab nabi: ya, puasalah untuk ibumu

 

فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ

 

[39] ada tiga pentafsiran berikut;

(a)                walaupun sehari tidak berpuasa dibayar fidyah sebanyak satu mudd sahaja, tetapi jika ambil sikap membayar dengan lebih, maka itu lebih baik dan amat digalakkan.

(b)               Memberi makan itu bukan kepada seorang miskin sahaja, tetapi lebih dari seorang.

(c)                dalam pentafsiran AL-ZUHRI, maksudnya adalah barangsiapa yang dapat bayar fidyah berserta berpuasa, maka itu yang lebih baik.[25]

 

وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ

 

[40] Menurut Hamka, ayat ini bukan bermaksud berpuasa ketika sakit dan bermusafir itu lebih baik, tetapi puasa yang dimaksudkan adalah puasa jiwa; iaitu mengawal diri dengan ketaqwaan itu adalah yang lebih baik.

 

[41] Ada tafsiran lain kata, ayat ini perlu dikaitkan dengan ayat sebelum ini yang menyebut perkataan تطوع—kalau ada solat sunat (tatawwu’) seperti solat ba’diyyah, qabliyyah dll; semua ini disebut sebagai solat tambahan bagi solat fardu, maka demikian juga puasa, ada puasa tambahan bagi puasa fardu, seperti puasa sunat isnin-khamis, puasa hari putih, puasa enam dan sebagainya [26]

 

[42] AL-RAZI pula tafsirkan, adalah lebih baik bagi orang yang bermusafir dan sakit yang mampu berpuasa bahawa dia tidak mengambil rukhsah, bahkan tetap berpuasa [27]

 

إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (184)

 

[43] Ayat ini sebagai menjelaskan maksud taqwa, iaitu berpuasa dalam cara syariah Muhammad adalah berasaskan kepada KETAATAN. Dan ketaatan itu tidak dapat dilaksanakan tanpa berilmu[28].

 

 



[1] hamka:1/421

[2] Hamka:1/421

[3] mafatih:5/249

[4] mafatih:5/241

[5] kathir:1/499

[6] Zad:1/141

[7] Asyur:2/164

[8] Shihab:1/402

[9] mafatih:5/244

[10] Zad:1/141

[11] Ridha:2/121

[12] Mafatih:5/243, Asyur:2/163

[13] Qurtubi:2/277

[14] Mafatih:5/243

[15] asyur:2/162

[16] Qurtubi:2/278

[17] qurtubi:2/277

[18] mafatih:5/246, Qurtubi:2/280

[19] kathir:1/500

[20] hamka:1/421

[21] Qurtubi:2/289

[22] mafatih:5/248

[23] Hamka:1/421

[24] hamka:1/423

[25] mafatih:5/250

[26] hamka:1/422

[27] mafatih:5/250

[28] Mafatih:5/250

No comments:

Post a Comment

(2) AL-BAQARAH 196

AL-BAQARAH 2:196   وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ وَلَ...